Setinta Emas | Aluan Pengerusi SWADD

 

الحمدلله رب العالمين، والصلاة والسلام على رسوله الكريم وعلى آله وأصحابه أجمعين

 

Alhamdulillah,

saya panjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT atas berkat limpahan rahmat dan kurniaan nikmatNya, selawat dan salam ke atas nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda, para sahabat dan para tabi’in. Firman Allah SWT:

“Hanyasanya yang layak memakmurkan masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan solat dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.”
(Surah At-Taubah: ayat 18)

Saya bersyukur kepada Allah SWT buat kali kelimanya, SWADD sekali lagi dapat menerbitkan Buletin SWADD Januari – Disember 2021 untuk tatapan para jemaah sekalian.   Sesungguhnya SWADD sebagai sebuah Surau Diri Jumaat yang menjadi sebahagian daripada ikon wakaf utama Malaysia iaitu Menara Imarah Wakaf atau Menara Bank Islam telah berusaha untuk menjalankan fungsinya bukan hanya sekadar sebagai tempat solat bahkan sebagai pusat pembangunan rohani, keilmuan dan kebajikan kepada para jemaah dan masyarakat di tengah-tengah kota kosmopolitan termasuk melangkaui sempadan negeri dan negara.  Aktiviti-aktiviti SWADD yang dianjurkan adalah bertujuan bagi memanjangkan manfaat wakaf (tauzi’ al-Waqf) yang mula dipelopori oleh Al-marhum Ahmad Dawjee Dadabhoy dengan mewakafkan tanah ini kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.  

Dengan kemurahan hati para jemaah yang terus menyumbangkan sumbangan khususnya setiap hari Jumaat dan sokongan Pengurusan Bank Islam Malaysia Berhad, SWADD bukan sahaja dapat menyediakan fasiliti terbaik untuk keselesaan ibadah para jemaah, bahkan telah berjaya melaksanakan beberapa program sepanjang 2021. Walaupun menghadapi kekangan dan pembatasan aktiviti akibat Covid-19, sumbangan SWADD telah melangkaui sempadan Malaysia secara rasmi iaitu ke Komboja. Selain daripada membantu pembinaan sebuah surau di Kg Gorowot Sabah, Tabung Musaadah SWADD dengan kemurahan para jemaah telah memberi sumbangan untuk Sekolah Bersepadu Musa Asiah (SEPAMA), Kemboja bagi kelengkapan 10 bilik kelas dan Perpustakaan. 

Dari aspek tata kelola dana awam, sesungguhnya Buletin SWADD ini adalah satu usaha pendedahan dan pelaporan pengurusan dana yang diamanahkan kepada Jawatankuasa SWADD oleh para jemaah.

Menutup bicara, saya mewakili seluruh Ahli Jawatankuasa dan Pegawai SWADD merakamkan jutaan penghargaan kepada seluruh jemaah SWADD atas sumbangan dan sokongan dalam mengimarahkan SWADD serta usaha-usaha pelebaran manfaatnya kepada ummah melampaui sempadan Jalan Perak di ibukota ini. Semoga amalan ikhlas ini akan dituai hasilnya di akhirat kelak dengan penuh kegembiraan.

Haji Mohd Nazri Chik

Pengerusi SWADD