Sejarah Surau Wakaf Ahmad Dawjee Dadabhoy

No 22, Jalan Perak, Kuala Lumpur

Perniagaan Abadi Tanpa Kerugian

Pada tahun 1940an, seorang hamba Allah, setelah berdekad merantau di dunia, memilih untuk menetap di Semenanjung Tanah Melayu.

Nama beliau ialah Ahmad Dawjee Dadabhoy, lahir pada 1907 di Gujerat, India. Beliau menceburi bidang perniagaan dan telah mengumpul kekayaan hartanah dan saham. Dari awal lagi beliau telah menginfaqkan hartanya dengan mewujudkan waqaf yang pada asalnya sebagai wakaf keluarga tetapi kemudiaannya dinamakan Al-Waqf Al-Islami Al-Aalamee. Suratcara penubuhan wakaf ini telah diedarkan pada tahun 1971.

Dengan penampilan serta gaya hidup yang sederhana, kediaman beliau sehingga akhir hayat hanyalah sebuat flat di Jalan Masjid India yang dipenuhi kitab-kitab serta majalah. Tiada siapa yang tahu warga tua yang sering kelihatan di warung-warung persekitaran merupakan seorang dermawan yang murah hati.

Allahyarham telah kembali ke Rahmatullah pada 24 Januari 1987, tanpa meninggalkan waris. Sebelum meninggal dunia, beliau telah menyatakan hajat beliau untuk memberikan wakaf beliau yang terdiri daripada beberapa harta benda dan juga tabung dana kepada pihak penguat kuasa agama. Semua ini akhirnya berjaya dicapai pada tahun 1994.

Harta wakaf Allahyarham yang terdiri daripada hartanah dan pegangan saham, kini ditadbir oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Pembangunan Tanah Wakaf Ahmad Dawjee Dadabhoy.

Antara harta wakaf Allahyarham Ahmad Dawjee Dadabhoy ialah sebidang tanah bersebelahan di Jalan Perak, Kuala Lumpur, dengan keluasan 1.2 ekar. Selepas Perang Dunia Kedua, tanah ini merupakan kawasan banglo mewah. Dengan peredaran zaman, corak pembangunan di sekitar bertukar menjadi menara pejabat, hotel dan kawasan ini menjadi terkenal sebagai Segitiga Emas Kuala Lumpur.

Nilai kawasan ini semakin meningkat dengan pembangunan persekitaran yang pesat ditambah dengan terbinanya Menara Berkembar Petronas yang masyhur di persada dunia pada tahun 1996. Pada awal milenium, nilai harta wakaf tersebut sudah menjangkau lebih RM34 juta.

MAIWP, sebagai pemegang amanah tunggal harta wakaf di Wilayah Persekutuan, menyahut cabaran untuk membangunkan tanah wakaf am tersebut agar tidak ketinggalan sebagai medan letak kereta sahaja.

Cabaran terbesar ialah untuk mendapatkan modal pembangunan. Syarat tanah wakaf yang tidak boleh dijual dan dicagar menjadi kekangan kepada pelabur swasta dan institusi kewangan. Pemaju hartanah juga lebih cenderung kepada penjualan unit selepas dibina, supaya keuntungan cepat diperolehi.

Perkongsian Pintar.

Kumpulan Syarikat TH Properties dengan asas kepakarannya dalam bidang pembinaan telah mengemukakan cadangan pembangunan dengan ciri-ciri berikut ;

  • Bangunan pejabat kelas ’A’ 34 tingkat dengan kos RM151 juta.
  • Struktur pembiayaan “Build-Operate-Transfer”
  • Pajakan 25 tahun
  • Pulangan RM56.6 juta kepada MAIWP semasa tempoh pajakan
  • Keseluruhan bayaran sewa menjadi milik MAIWP selepas tempoh pajakan.

Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji), berpandukan pengalamannya dalam bidang pembangunan dan pelaburan hartanah, memberi sokongan penuh terhadap cadangan ini dengan menawarkan pembiayaan 100% bagi pembangunan tersebut. Pelaburan ini bukan sahaja akan mendatangkan pulangan berkala berpanjangan untuk para pendeposit tetapi juga menepati salah satu misi Tabung Haji untuk memperkasakan ekonomi umat Islam.

Struktur projek ini dilengkapi dengan komitmen Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam), yakni perintis perbankan Islam di Malaysia, sebagai penyewa utama. Bank Islam akan menjadikan bangunan ini sebagai ibu pejabatnya, sejajar dengan statusnya sebagai peneraju sistem kewangan Islam di Malaysia. Perjanjian Penyewaan antara Bank Islam dan Tabung Haji telah ditandatangani pada Majlis Pelancaran Projek Pembangunan Tanah Wakaf yang telah disempurnakan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia Tun Abdullah bin Haji Ahmad Badawi pada 08 Jun 2007.

Satu perkongsian pintar telah diwujudkan antara keempat-empat organisasi Islam - pentadbir aset, pengurus dana, institusi kewangan dan pengurus projek, bagi memastikan penambahan nilai yang optima pada tanah wakaf tersebut dalam memberi manfaat kepada masyarakat Islam setempat. Sebagai pengiktirafan, MAIWP telah mendapat Anugerah Pembangunan Hartanah Wakaf Terbaik pada tahun 2009 untuk projek ini.

Renungkan manfaat yang berpunca daripada amalan wakaf Allahyarham.

  • Sebuah mercu tanda kebanggaan umat Islam dibangunkan di pusat pembangunan Bandaraya Kuala Lumpur.
  • Hasil bangunan semasa tempoh pajakan, akan dinikmati oleh pendeposit Tabung Haji.
  • Sebahagian hasil bangunan semasa tempoh pajakan dan keseluruhannya hasil bangunan selepas tamat tempoh pajakan, dapat disalurkan oleh MAIWP bagi kerja-kerja kebajikan.
  • Penggunaan bangunan wakaf sebagai ibu pejabat Bank Islam memainkan peranan dalam perkembangan industri perbankan Islam di samping mendorong amalan wakaf.
  • Kemudahan tambahan bagi umat Islam setempat mengerjakan solat Jumaat di surau tersebut.

Semoga Allah Subhanahu Wa Taala mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham  Ahmad Dawjee Dadabhoy dan menerima amalannya serta amalan kita dan membuka hati kita berbaki ke jalan Allah. Amin.